Thursday, June 14, 2012

MADRASAH AKHLAK: RIAK


Assalamualaikum..

Jom lihat video ni



Riak adalah sesuatu yang keji dalam Islam.

Nabi SA.W bersabda : "Sukakah kamu klau aku khabarkan kepada kamu syirik yang kecil. Sahabat berkata, kami mahu mendengar. Nabi berkata, riak.."

FirmanAllah S.W.T dalm surah Al-Maun : "Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya. Yang berbuat riak.."

Amalan kita bergantung kepada niat

3 AMALAN HINDARKAN RIAK

  1.  meletakkan neraca keikhlasan (istighfar byk2..setiap perbuatan kite iringkan dgn doa & istighfar)
  2. berusaha melakukan sesuatu perkara dalam keadaan orang lain tidak melihat/ org tak tahu
  3. selepas melakukan ibadah / kite membuat sesuatu terus istighfar


TAHAP PENYAKIT RIAK
  1. jika tujuan asal ibadat seseorang bukanlah untuk mendapatkan pahala sama sekali cthnye dia solat di   khalayak ramai, kalo sorang2 solat ikot suka je...depan orang wat sungguh2
  2. jika tujuan asal ibadat seseorang untuk mendapatkan sedikit pahala. bile bersendirian dia tidak melakukannya cthnye bile sorang2 tak solat, tapi bile datang mertua, pakai jubah & solat sekal, dengan orang die mencari pahala, die memperlihatkan yang di solat 
  3. jika niat antara dapat pahala riak sama dalam melakukan amalan. die wat dalam keadaan ala kadar, buat tak buat 
  4. semakin bersemangat melakukan ibadat tetapi dalam keadaan mengharap-harap orang melihatnya

p/s: penilaian yang paling utama adalah dari Allah S.W.T
      : riak ini ancaman (virus)

Wednesday, June 13, 2012


Assalamualaikum w.b.t


 
“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.


2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
... Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkankemaafan dari orang yang kita zalimi, membuatpersediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.


3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.


4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.


5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.


8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.


9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Tuesday, June 12, 2012


Assalamualaikum w.b.t

SUMBER: ILUVISLAM
Qana'ah & bersyukur...

apa itu qanaah?

qana’ah ialah merasa cukup, redha atas kurnia dan rezeki yang diberikan oleh Allah.

Rasulullah saw bersabda:

"Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta, kekayaan (yg sebenar) ialah kekayaan jiwa".

erti kekayaan itu adalah berasa cukup dgn apa yg dia ada, manakala erti miskin itu adalah sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang dia ada..

"..Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat kepada kamu..." (Ibrahim: 7)

Qana'ah dan bersyukur, insyaAllah kita akan menjadi hamba Allah bahagia. ^_^

Monday, June 11, 2012

[SHARE} Amir bin Abdullah al-Tamimi: Munajatnya Bernilai Sastera


Assalamualaikum w.b.t

Ini adalah perkongsian ilmu..saya ambil dari blog Ustazah Fatimah Syarha
Diharapkan dapat memeberi manfaat kepada kita semua..ameen :)

KISAH : Amir bin Abdullah al-Tamimi
Profil
·         Dilahirkan pada masa pemerintahan khalifah Umar r.a. di kota Basrah,
·         Berbadan tegap, panjang janggutnya, wajahnya bercahaya, banyak beribadah, mulia akhlaknya dan dibesarkan dalam lingkungan orang-orang bertakwa (para sahabat) sejak kecil.
·         Ahli ibadah dan zuhud.
·         Tentera Muslim yang melemahkan Persia.
·         Diusir dari Basrah ke Syam kerana fitnah.
·         Wafat di Palestin.
Kelahiran di Lingkungan Iman
            Tangisan pertama Amir bin Abdullah al-Tamimi membuatkan bibir ibunya berkuntum senyuman. Dunia terasa lebih bercahaya dengan sinar harapan. Meskipun puteranya itu tidak sempat bertemu Rasulullah SAW, namun dia terpilih untuk lahir sebagai tabiin. Penuh kemuliaan.
            Pada saat itu, kota Basrah basah dengan roh jihad. Khalifah Umar al-Khattab menjadikan Basrah sebagai pos penyerangan kaum muslimin terhadap orang-orang Persia. Pemuda-pemuda Basrah siap sedia berlatih senjata dan sanggup menggadai nyawa bila-bila masa sahaja.
Celiknya mata Amir bin Abdullah al-Tamimi dalam lingkungan para pejuang itu. Khalifah Umar al-Khattab membuktikan bahawa Islam bukan agama teroris. Tiada suatu kotapun yang diserang tanpa menunjukkan etika yang tinggi. Terlebih dahulu, kaum muslimin menawarkan kepada musuh sama ada masuk Islam, membayar cukai (jizyah) atau berperang.
Amir bin Abdullah al-Tamimi melalui zaman kanak-kanaknya dengan menyaksikan jihad demi jihad orang-orang dewasa. Lantas, menjadi tentera segagah mereka berkobar-kobar di imaginasi kecilnya saban hari.
Berjiwa Tentera
Ketika usia Amir meningkat dewasa, beliau senantiasa ikut dalam peperangan yang dilakukan oleh para sahabat r.a,. Amir tahu beliau berhak mendapat harta rampasan perang namun beliau tidak pernah tergiur mengumpul emas dan permata yang diperoleh. Beliau sangat zuhud terhadap dunia. Redha Allah matlamatnya. Syahid cita-citanya.
Pemimpin Basrah saat itu adalah seorang sahabat yang terkenal, iaitu Abu Musa al-Asy’ariy r.a.. Beliau memimpin langsung pertempuran-pertempuran kaum muslimin, Amir selalu mengikuti Abu Musa dan tidak pernah berjauhan daripada beliau.
Setiap hari Amir membahagi waktunya menjadi 3 bahagian:
1)    Mengajar Islam di masjid Basrah.
2)    Berkhalwat (menyendiri) di malam hari untuk bersujud dan berjihad fi sabilillahdengan pedangnya. Sehingga beliau digelar: Abidil Bashrah wa zaahidihaa (Ahli ibadah dan ahli zuhud dari Basrah).
3)    Jihad
Munajat di Malam Gelita
Pada saat malam membungkus warna alam, burung-burung gurun menutup kepak di sarang, rembulan dan bintang bak pengantin dihiaskan, berdirilah Amir bin Abdullah at-Tamimi di hadapan Kekasih agungnya. Membongkokkan badan dan menyungkur sujud.
Saat ‘dating’ dengan Pencipta terasa sangat istimewa. Tidak hairanlah, setiap malam dia ternanti-nanti saat itu. Lazat dan nikmat pada jiwa.
Pada setiap malam dalam peperangannya, ketika para pasukan telah terlelap, beliau selalu menyendiri solat lalu dengan berlinangan air mata beliau merintih: “Ilahi, Engkau telah menciptakanku dengan ketentuan-Mu dan telah Kau tempatkan aku dalam cubaan dunia ini. Lalu Kau katakan dalam firman-Mu: Bersabarlah! Maka bagaimana aku dapat bersabar dari kelembutan-Mu?”  
“Ilahi, Engkau Maha Mengetahui, jika seluruh dunia ini ada yang memintanya dariku nescaya akan kuberikan seluruhnya. Duhai, betapa aku cinta kepada-Mu, maka mudahkanlah aku dari musibah yang menimpaku ini, relakan aku atas qadha’-Mu. Sungguh aku tidak peduli dengan yang lain wahai Kekasih, selain cinta-Mu pada-Ku…”
Lalu beliau terus solat dan berdoa sampai subuh, Ketika hampir subuh, beliau berdoa lagi: “Ilahi, subuh telah tiba, dan orang-orang telah mulai bangun untuk mencari rezeki-Mu, dan tiap mereka berhajat kepada-Mu. Adapun hajat Amir kepada-Mu hanyalah ampunan-Mu. Ya Allah, kabulkanlah hajatku dan hajat mereka… Ilahi,  hanya satu hajatku yang Kau tolak, iaitu agar Kau lepaskan rasa kantuk dariku siang dan malam selamanya, agar aku dapat beribadah kepada-Mu sebagaimana cintaku kepada-Mu (yang tidak pernah mengantuk) …”
Disenangi Rakan-Rakan
Walaupun beliau banyak beribadah, namun itu tidak bermakna beliau bersikap individualistik dan tidak berkawan. Bahkan beliau bagaikan ‘Ubbadun fil Lail wa Fursanun bin Nahar (Ahli Ibadah di malam hari dan penunggang kuda di siang hari sebab selalu terkehadapan di medan jihad).
Beliau selalu berpesan kepada teman-temannya di medan jihad: “Aku minta pada kalian 3 permintaan. Harapnya, janganlah kalian tolak. Pertama, aku ingin menjadi pelayan kalian yang menyediakan semua keperluan kalian. Kedua, aku ingin terus menjadi mu’azzin (juru azan) kalian setiap waktu solat. Ketiga, aku ingin menafkahi semua keperluan kalian dengan wangku semampuku.”
Peribadinya yang suka mengambil berat keperluan orang lain itu menyebabkan dirinya sangat disenangi. Disayangi Allah dan disayangi manusia.
Memilih Zuhud
Ketika kaum muslimin berhasil mengalahkan kerajaan Persia maka berlimpahlah pelbagai harta yang tidak ternilai seperti mahkota-mahkota dan perhiasan dari emas dan berlian yang sangat indah dan mahal ke tangan kaum muslimin. Kebetulan, kaum muslimin dalam keadaan sangat miskin saat itu.
Amir bin Abdullah adalah orang pertama yang berhasil membuka gudang penyimpanan harta Maharaja Persia, lalu dibawanya semua itu kepada panglimanya Qa’qa bin Amru sambil berkata: “Inilah semua simpanan kekayaan raja-raja Persia yang terbaik.”
Maka Qa’qa memandangnya seakan tidak percaya, Maka kata Amir : “Demi Allah, semuanya ini tidak berharga bagiku walaupun sehujung kukuku ini.”
Pengasih dan Penyantun
Dididik dalam suasana jihad tidak menjadikan beliau berjiwa keras dan kasar. Beliau memang tegas tapi penyantun orangnya. Walaupun beliau seorang mujahid yang selalu bertempur melawan pelbagai pasukan musuh, tetapi beliau sangat pengasih.
Pernah suatu ketika beliau melihat seorang Ahlu Dzimmah (orang kafir yang tunduk pada peraturan negara Islam) yang dianiaya, Maka beliau membela dengan menampar orang yang menganiaya itu, sehingga beliaupun dikeroyok beramai-ramai dan dicekik lehernya,
Sambil tercungap-cungap mempertahankan diri, beliau berkata: “Wallahi! Jangan sekali-kali berani mengusik Dzimmah ar-Rasul selama aku masih hidup…”
Membalas Fitnah dengan Doa Kebaikan
Sebagai seorang yang sangat zuhud, beliau senantiasa berpesan agar jangan sekali-kali mendekati pintu para penguasa, Beliau tidak bermaksud menghukum penguasa semuanya jahat. Beliau hanya mengambil sifat hati-hati daripada terpesona dengan pangkat dan harta.
Malangnya, kenyataan beliau diputar belit. Beliau difitnah sehingga mengakibatkannya diusir oleh khalifah agar ia pindah ke Syam (sekarang Syria dan Jordan). Sekalipun demikian beliau tidak pernah marah, Bahkan beliau selalu berdoa:
“Ya Allah, siapapun yang telah mendustakan aku dan menyebabkan keluarnya aku dari kota ini dan memisahkanku dari sahabat-sahabatku telah kumaafkan. Maka berilah mereka‘afiah (keselamatan) di dunia dan akhirat mereka, dan matikanlah kami dalam ampunan, rahmat dan keampunan-Mu.”
Beliau sering menangis tiba-tiba, sambil mengulang kata-katanya: “Aku takut akan menyesal, pada hari di mana tidak berguna lagi harta dan anak-anak, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat.”
Perginya Kepada Kekasih yang Dirindui
Amir bin Abdullah at-Tamimi wafat di bumi kiblat pertama kaum muslimin iaitu Palestin. Ketika hampir wafat, beliau berkata sambil berlinangan air mata: “Alangkah panjangnya jalan dan alangkah sedikitnya bekal.”
Berkata al-Qamah bin Muriid (ulama Nejd): “Zuhud berakhir pada 8 orang. Yang paling utama di antara mereka adalah Amir bin Abdullah.” Semoga Allah s.w.t. merahmatinya, Amin.
Diadaptasi dari kitab : SUAR MIN HAYATI TABI’IN, karangan Dr. Abdul Rahman Rif’at Basya.


Sunday, June 3, 2012



"Assalamualaikum,sahabat fb ustazah dihormati sekelian, Seorang ulama besar iaitu Al Hasan al Basri selalu berpesan:"Wahai manusia,kejarlah akhirat.Sering kali kita melihat orang yg mengejar akhirat,lalu ia mendapat akhirat dan dunia bersama-sama.Namun tidak pernah kita melihat seorang yg mengejar dunia,lalu ia mendapat akhirat bersamanya. Semoga hari ini lebih baik dari semalam".

 
Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Friday, May 25, 2012



Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu "moving target" yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi "rules of life" (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:

"Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya." Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan.

Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali. John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya.
Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang ...

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang "hilang" di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor "kesihatan" hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
•Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." Al Ra'du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. " (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati "
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara "auto pilot".

KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:

1. Beriman dan beramal salih.

"Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (An-Nahl: 97)

Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana'ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah.

Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:

"Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu." (Ar-Ra'd: 28)
3. Bersandar kepada Allah.

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:

"Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
"Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.

Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Rasulullah SAW bersabda:

"Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: "Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu," akan tetapi katakanlah: "Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan," karena sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka amalan syaitan." (HR. Muslim)
6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:

"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!".
Firman Allah:

"Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih." (Al Insan: 9)

ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!

Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.

Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.

Thursday, May 17, 2012

Doa Yang Mustajab : Waktu dan Amalannya | iluvislam.com discover the beauty of islam



Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita. Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu.

Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya dikala kesusahan?

Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat? 

Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:

1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.
2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.

Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.

Waktu-waktu mustajabnya doa.

01.Satu pertiga malam
Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, maksudnya:

Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.
02.Sewaktu hujan turun

Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat

Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat

Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.

05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat

Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

07.Waktu dhuha

Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:

1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.

Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...

Amalan-amalan yang memustajabkan doa.

01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.

Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".

02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.

04.Menghulurkan pertolongan.

Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

05.Sabar.

Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.

Doa-doa yang mustajab.

01.Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.

02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."

03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.
Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.

Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.

Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.

Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?

Biodata Penulis

Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah (USIM).