Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita.
Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak,
solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk
memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain
daripada itu.
Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu
dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat
pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya dikala kesusahan?
Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan
yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa
baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah
waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan
kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat?
Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:
1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.
2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.
Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah,
merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T.
Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga
pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis
yang sahih.
Waktu-waktu mustajabnya doa.
01.Satu pertiga malam
Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum
Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda,
maksudnya:
Allah
S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia)
di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga
langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan
perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya
akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud
merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.
02.Sewaktu hujan turun
Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.
03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah,
imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai
di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat
telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini
kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang
berlainan di antara satu sama lain.
04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat
Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus
untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.
05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.
06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat
Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita
mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud
mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua,
ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud
untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang
ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa
Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab
akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah
termasuk As-Syafi'e rahimahullah.
07.Waktu dhuha
Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:
1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.
Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...
Amalan-amalan yang memustajabkan doa.
01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.
Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".
02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.
Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,
"Wahai
Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka
sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim
tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman,
katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman.
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada
kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang
yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang
telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah
Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak
memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]
Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.
04.Menghulurkan pertolongan.
Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita
seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W,
"Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu
urusan kamu".
05.Sabar.
Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.
Doa-doa yang mustajab.
01.Ingin penulis kongsikan di sini
beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon
pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:
"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka
antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid
walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan
bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang
selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta,
Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu
tandingan dari sesuatu apapun."
Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah
S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah
S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya
pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.
02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku,
permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka
memahami perkataanku."
03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.
Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.
Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa
setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah
seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan
mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat
mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.
04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma
'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa
'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil
masiihid dajjal", maksudnya:
"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung
dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa
kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau
mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"
Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda
dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan
yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan
semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.
Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan
sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W
di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang
mustajab.
Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.
Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.
Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.
Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W,
ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan
di sisi-Mu.
Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup
bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan
di sisi-Mu.
Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?
Biodata Penulis
Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah
seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah
Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi
Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan
Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA.
Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di
peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah (USIM).
No comments:
Post a Comment