Assalamualaikum w.b.t
Jemputla Baca (n_n)
Soalan: al-Fadil Dr Asri yang
dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut
kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan
Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban.
Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun
macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr
Asri huraikan?
Anisah, Bangi.
Jawapan Dr MAZA: Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang
ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa
dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang
diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan
hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam.
Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan
menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang
tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab
berdasarkan perkara-perkara berikut;
1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan
pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga
amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu,
hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah
masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak
buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan
hadis-hadis yang sahih.
2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis
memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat.
Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah
tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu
seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang
dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal
643H) menyebut:
“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu,
yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud
(golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk
mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah
(kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh
hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.(
Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).
3. Antara hadis palsu yang direka mengenai
bulan-bulan:
“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan
bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal
414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa
al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).
Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh
membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama
bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,.
5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat
pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah
s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada
malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis
mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat
ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar
al-Munif, m.s. 95-98).
4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab:
“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai
mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku
suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat
al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).
Aisyah r.aha juga menyebut:
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa
dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban
sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.
6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban
(15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping
banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai
amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut. Kata al-Imam al-Nawawi
(meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu
dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan
Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat
ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya
disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh
dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu.
Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan
hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).
Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut
dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:
“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu
Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah:
Maktabah Mustafa Baz).
7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam
nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang
syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar
dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).
Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh
Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan
dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah
sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut,
mudah-mudahan kita semua diampunkan.
8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan
para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu
Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada
sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai
berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah
Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula
dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang
tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’
tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan
Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan
(malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian
negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan
ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut
salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap
yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang
sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383,
Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat
menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu
masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri.
Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada
mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan
melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar
dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada
asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.
No comments:
Post a Comment