Tuesday, March 20, 2012
Saturday, March 17, 2012
Apabila hidayah datang menyapaku
Assalamualaikum w.b.t
Artikel ni sangat-sangat bererti untuk diriku dan harap dapat berkongsi dengan yang lain...betapa Allah S.W.T Maha Pengampun...dan sayangkan setiap hamba-hambaNya.. :)
Apabila hidayah datang menyapaku
Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.
“Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya.” (Jatsiyah:23)
Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu? Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?
Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.
5 tahun lepas…
“Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?” Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.
“Hurrm…. Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini,” dengan senyuman manja dia membalas.
Ya, apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!
“Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat.”
Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagiaan tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.
Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.
Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.
“Cakaplah sayang, apa dia?”
Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.
“Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?”
Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.
“Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?”
Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.
Lama ditenung mata hazel jejaka yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.
Dan akhirnya dia mengangguk setuju…
————
“Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!”
“Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke? Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?”
“Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!”
Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika itu dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.
“Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!”
“Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!” Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.
Dia berasa dunianya gelap. Dia harus gugurkan kandungannya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.
“Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat.” Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.
Kakaknya menyambung, “Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bila kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau. Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!”
————
Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.
Dia berjaya mengugurkan kandungannya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?
Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!
Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang baru lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.
“Orang yang bertaubat nasuha dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi.” (Hadis)
“Adlina, akak nak tanya ni…”
Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.
“Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?”
Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawab persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?
“Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat.” (An-Nisa’:17)
Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.
“Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.”
Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus–putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.
“Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun ya.”
Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang, namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.
Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.
Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.
“Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang mungkin serupa dengan Lina. Tapi, dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya.”
Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu? bisik hatinya.
“Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.”
Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.
“Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. InsyaAllah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.”
Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu ya Rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?
“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.” (At-Taubah:24)
Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda, dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia! Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!
“Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan.” begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.
Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:
“Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu.”
Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.
Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.
Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.
“Sayang, mari sini sayang, bawa Lina sekali,” kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.
Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira, tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah. Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.
“Adlina Malik, kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.”
Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian theater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.
Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu…
Artikel oleh: Nur Aisyah Zainordin
Monday, March 12, 2012
Allah Ajarkan Untuk Ingat kepadaNya Setiap Waktu | iluvislam.com discover the beauty of islam
Alhamdulillah. Perjalanan demi perjalanan yang digerakkan Allah samada perjalanan menuntut ilmu dengan guru, bacaan, akhirnya saya memahami satu hakikat rahsia kehidupan ini.
Saya faham kenapa ada orang yang baru 1 jam tidur tapi boleh bangun tahajud tetapi ada orang yang sudah tidur lapan jam tidak mampu bangun tahajud. Itulah daya TAQWA atau daya FASIK dari Allah. Allah berfirman dalam Surah Asy Syams yang bermaksud:-
...maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya" (As-Syam 91:8-10).
Apabila kita mensucikan jiwa, maka Allah memberikan kita DAYA TAQWA yang mendorong kita ke arah kebaikan dan taqwa. Baca Al-Qur'an jadi mudah, bangun tahajjud jadi mudah, berdakwah dengan rela hati, Ikhlas hidup hanya untuk Allah. Tanpa DAYA TAQWA ini kita tak akan mampu melakukan ketaqwaan. Firman Allah yang bermaksud:
...dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-Lah yang melempar" (QS. Al-Anfaal; 17)
" Sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui"(An Nuur 24 : 21)..
Allah YANG Mengerakkan kita semuanya. Setiap gerak geri kita seperti digerakkanNya alam semesta ini. Kita hanya bersandar kepada gerakNya, kehendakNya. Justeru berbuat taqwa jadi mudah bila Allah yang menggerakkan kita dengan daya TAQWA yang sungguh kuat. Daya inilah yang menggerakkan Tsunami, daya inilah yang membelah laut Merah menyelamatkan pengikut Nabi Musa a.s dan menenggelamkan tentera Firaun. DAYA inilah yang kita CARI.
Bagaimana? Lihat dan fahami kembali Surah Asy Syams tadi. Daya ini kita perolehi bila kita MENSUCIKAN JIWA. Bagaimana? Dengan INGAT kepadaNya. Lawan Ingat kepada ALLAh adalah LALAI. Justeru setiap waktu kita hanya boleh berada dalam salah satu dari dua keadaan. Keadaan orang yang INGAT atau LALAI kepada Allah. Bila kita INGAT kepada ALLAH, Dia menggerakkan kita dengan daya taqwaNya, justeru kita begitu rajin membaca al-qur'an dan sanggup duduk berzikir dan mudah menghulurkan sedekah atau bantuan. Namun ketika kita LALAI kepada Allah, kita rasa malas nak beribadah, malas nak solat sunat, rasa nak cepat habis berzikir sebab banyak urusan lain nak dilaksanakan. Ketika kita lalai kepada Allah, maka Allah mengirimkan syaitan ke dalam hati kita. Firman Allah:
..Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk. "(Az Zukhruf 43 : 36-37)..
maka kita dilorongkan ke jalan kefasikan di atas pilihan kita sendiri YANG LALAI kepada Allah.
Inilah rahsia sebenarnya. KITA WAJIB BELAJAR BAGAIMANA INGAT KEPADA ALLAH!!!.
Maaf saya tulisan capital letter, sebab saya nak tekankan tersangat penting perihal ini. Kita MESTI INGAT kepada Allah setiap waktu. Hati dan jiwa kita MESTI terhubung denganNya SETIAP MASA. Sekiranya tidak maka kita sedang lalai, itulah sebab bila azan bergema, kita rasa berat untuk solat kerana apabila kita lalai, ada syaitan di hati kita.
Kaedah kita berzikir perlu dievaluasi. Apakah zikir kita mampu menghubungkan jiwa kita kepada Allah. Apakah zikir kita benar-benar menyadari Allah atau sekadar di bibir dan dihati ada perasaan nak cepat habis. Ingat kepada Allah yang sebenarnya akan menghasilkan perasaan bahagia tak tergambarkan. Tidak mahu lepas dari ikatan hubungan seperti sedang berhubung dengan kekasih pasti tak sanggup melepaskannya. Ya Allah, setelah saya faham ilmu ini, saya menyesali hari-hari saya yang berlalu dengan keadaan lalai kepada Allah. Ruginya saya. Bagaimana kita lalai?
1. Sibuk buat urusan pekerjaan. Walaupun kita ikhlaskan kepada Allah tapi jiwa kita tak terhubung dengan Allah ketika kita melakukan kerja samada di pejabat atau dirumah.
2. Sibuk dengan keluarga, kawan-kawan, tetamu dan sebagainya. Jiwa kita terputus dengan Allah.
3. Sibuk tengok TV terutamanya movie atau sinetron. Ikatan dengan Allah sering terlepas.
Persoalannya, tak bolehkah kita kerja, tak bolehkah kita bersama kawan-kawan dan kerabat? Boleh ... tapi ketika kita melakukannya, jiwa kita terhubung dengan Allah. Adakah kita mampu melakukan dua perkara dalam satu masa? Ya boleh, bagaimana? Kena belajar caranya.
Inilah perkara penting yang saya perolehi dan inilah garapan hasil perjalanan saya yang masih panjang ini. Saya ingin berkongsi, itu saja. Saudara saudari pembaca mungkin ada yang tidak faham, jangan risau kerana kefahaman itu ALLAH yang beri. Doalah agar Allah memberi kefahaman.
InsyaAllah saya bercadang untuk membuka kelas berkongsi kefahaman seperti ini dan di kelas ini saya ingin sekali untuk berkongsi kaedah ingat kepada Allah. InsyaAllah kawan-kawan sehalaqah saya juga pasti dapat membantu dengan pengalaman mereka juga. Namun sebelum impian menjadi kenyataan, saudara dan saudari pembaca boleh praktikkan dulu beberapa amalan yang diajar guru saya.
Setiap lepas solat subuh, duduklah seperti sedang beriktikaf. Sambungkan jiwa kepada Allah dan PERTAHANKAN KESEDARAN ke ALLAH selama sekurang-kurangnya 30 minit. Lakukan juga selepas solat Isyak.
Berikut adalah latihan langkah demi langkah yang insyaAllah akan membuka hijab demi hijab yang menutup mata hati kita dari memahami petunjuk dan ilmu ALLAH:-
1. Buatlah sesuatu untuk Allah (apa saja projek) di mana saudara dan saudari tak dapat apa-apa pulangan berbentuk material/kebendaan. Belajar hidup dengan IKHLAS sehingga ia menjadi sebati dalam diri. InsyaAllah pintu PETUNJUK Allah akan dibuka.
2. Belajarlah solat dengan betul dan khusyuk.
3. Berpuasa lah di bulan Ramadhan dengan betul. Perlu belajar caranya.
4. Keluarkan zakat dan rajin memberi. Allah akan pulangkan dengan ganjaran lebih besar.
5. Sabar atas apa saja perkara yang berlaku.
Artikel dipetik daripada http://ummuayman.blogspot.com
Ingatan Untuk Diri Sendiri & Perkongsian Bersama
PERKONGSIAN BERSAMA
SUMBER DI AMBIL DARI : FB Ustaz Azhar Idrus: Himpunan Kata-kata (Hikmah-Insaf-Semangat)
UNTUK INGATAN DIRIKU DAN MAHU BERKONGSI BERSAMA RAKAN2 JUA :)
Abu Lait Berkata, "Sesiapa Yang Dapat Menjaga Dan Mengingati Tujuh Kalimah Ini, Maka Ia Mulia Di Sisi Allah S.W.T. Dan Malaikat Serta Diampunkan Dosanya Walaupun Dosanya Sebanyak Buih Lautan. Dan Akan Merasakan Kemanisan Taat Dan Hidup Atau Mati Keduanya Baik Baginya.
1. Apabila Hendak Membuat Sesuatu Maka Mulalah Dengan Bismillah.
2. Apabila Telah Selesai Dari Mengerjakan Sesuatu Yang Baik Hendaklah Membaca Alhamdulillah.
3. Kalau Terlanjur Mengatakan Sesuatu Yang Tidak Baik, Maka Hendaklah Segera Menyatakan Astaghfirullah.
4. Kalau Hendak Melakukan Sesuatu Pada Esok Hari Hendaklah Berkata Insya Allah.
5. Kalau Menghadapi Kesukaran Hendaklah Selalu Membaca Laa Haulawalla Quwwata Illa Billahilaliyyil Azim.
6. Apabila Kita Ditimpa Bala Musibah Hendaklah Selalu Membaca Inna Lillahi Wa Inna Ilahi Raajiunn.
7. Setiap Siang Dan Malam Hendaklah Membaca Laa Ilaha Illallah.
Sunday, March 11, 2012
Dari Prof Madya Dr Mohd Asri: MENCARI HIKMAH DI SEBALIK DUKA DAN DERITA
MENCARI HIKMAH DI SEBALIK DUKA DAN DERITA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)
Duka, gundah dan derita itu tidak diminta. Bahkan kita disuruh berlindung dengan Allah daripada semuanya. Namun, seperti mana penyakit, ia hadir ke dalam kehidupan seseorang melalui pelbagai jalan. Kita tidak mencari penyakit, tetapi jika ia datang juga, kita akan sabar dengan mengharapkan pahala dan keampunan Allah. Walaupun penyakit itu tidak digemari, tetapi betapa ramai insan yang menghampirkan diri kepada Allah kerana penyakit yang menimpanya. Lalu, dia akan berkata pada suatu hari “alangkah rahmatnya ujian kesakitan itu”.
Duka dan derita itu lebih luas daripada sakit. Sakit merupakan salah satu sebab duka dan derita, tetapi betapa banyak duka dan derita yang tidak disebabkan penyakit. Duka dan derita boleh hinggap kepada insan yang sihat dan yang sakit. Terkena kepada yang miskin dan yang kaya. Menimpa yang bergelar hamba dan bergelar raja. Kadang-kala ia datang dengan bersebab. Kadang-kala seakan tidak tahu sebabnya. Kadang-kala kelihatan sebab itu sangat kerdil, tetapi derita di jiwa sangat besar.
Pelik
Ya, ini satu bab yang perlu dihayati dalam kehidupan. Ajaibnya makhluk yang bernama duka dan derita itu. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa, muncul dalam pelbagai gaya. Menerjah ke dalam pelbagai dada dan jiwa. Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).
Banyak musibah, apabila insan teliti, tidaklah sebesar mana. Jika pun besar, apabila diteliti hakikat kehidupan ini, lantas insan bergantung kembali kepada Allah, maka segalanya itu kerdil semata.
Lalai
Banyak hikmah di sebalik duka dan derita yang melanda kehidupan seseorang insan. Kadang-kala, hidup yang dipenuhi suka dan ceria semata telah melalaikan ramai manusia. Ingatannya kepada akhirat dan kehidupan yang hakiki antara tenggelam dan timbul. Mungkin juga menjadi kabur. Bukan kerana tidak tahu tentang hakikat sementaranya hidup ini, tetapi kerana terlalu dengan kemeriahan hidup, kehalusan perasaan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat itu terhakis.
Sebanyak mana pun ilmunya dalam agama, bukanlah menjamin hubungannya dengan Allah sentiasa kusyuk dan kudus. Tiba-tiba apabila duka dan derita hadir, insan mula memanggil Tuhan siang dan malam. Insan mula insaf bahawa inilah kehidupan yang sementara, lantas harapannya bergantung kepada Allah semata. Dia pu mengharapkan apa yang hilang di sini, diperolehi di sana.
Betapa ramai kembali mencari akhirat apabila mereka merasai keperitan dunia ini. Betapa ramai yang mula mencintai syurga dan merindui pertemuan dengan Allah disebabkan derita dunia yang dilaluinya. Betapa ramai yang tidak sempat bercerita tentang keindahan syurgawi kerana disibukkan dengan kepalsuan duniawi, kembali menghayati perjalanan hidup yang hakiki disebabkan duka dan derita yang menimpa. Allah menceritakan tentang ucapan ahli syurga apabila mereka memasuki syurga kelak, mereka berkata (maksudnya):
“dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghilangkan perasaan dukacita dari kami; sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat); Tuhan Yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Surah Fatir, 34-35).
Doa
Insan apabila putus asa dengan segala jalan, jika masih ada dalam jiwanya iman, dia akan mencari tuhan. Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mempedulikannya. Cumanya, jika dia tidak dibimbing dengan ilmu yang sahih mengenai sunnah Nabi s.a.w, maka pelbagai unsur khurafat, doa rekaan, hadis palsu akan disambarnya dalam kekalutan mencari kemustajaban. Buku-buku doa banyak yang dimuatkan dengan maklumat yang tidak bersumber fakta yang sahih seperti cerita-cerita pelik yang tidak berasaskan riwayat yang benar.
Namun, jika insan memiliki dalam fikirannya manhaj yang sahih dalam mengambil sumber agama, maka ketika dalam kesusahan itu dia akan mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih mengenai kemustajaban doa dan ungkapan-ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman. Justeru, ramaikan yang kembali memahami agama, menghayati sunnah Rasulullah s.a.w disebabkan ujian duka dan sengsara yang menimpa dirinya. Demikianlah kadang-kala duka dan derita membawa insan kepada ilmu dan amal.
Antara yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:
“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).
Lihat inti doa tersebut. Betapa indahnya apabila insan mengharapkan rahmat Tuhan, memohon Allah menguruskan dirinya sepenuhnya, sehingga agar tidak dibiarkan walaupun sekelip mata. Mohon dibaiki segala urusan. Allah! Alangkah indah penyerahan itu. Alangkah indah perdampingan itu. Alangkah terasa kehambaan diri seorang insan di hadapan kebesaran Tuhan.
Tawakkal
Tawakkal! Ramai yang boleh menyebutnya, bahkan menjadi hiasan di bibirnya. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketakwaan dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya.
Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah.
Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah (maksudnya):
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Duka dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini.
Hapus Dosa
Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”. Lihat, betapa jiwa yang redha itu tidak sia-sia. Bala tidak dicari, derita tidak ditempa, tetapi jika tetap datang, jiwa mukmin akan redha dengan Allah sehingga Allah memberikan ganjaran untuknya dan diangkat kedudukannya. Sesungguhnya keperluan insan tentang penghapusan dosa dan ketinggian darjat di sisi Allah lebih besar dari segala. Namun, dengan berpadukan perasaan dan mata yang terlalu duniawi, insan melupai hakikat kehidupan yang abadi. Padahal nikmat duniawi ini hanya beberapa bilangan hari, yang beransur pergi bersama usia yang meningkat bagi setiap ketika. Kita tidak menempa derita, tetapi derita boleh membawa bahagia selamanya.
Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup. Sabda Nabi s.a.w:
“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).
Saturday, March 10, 2012
Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki? | iluvislam.com
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...
- Artikel iluvislam.com
Surat Pilihan 2
Surat pilihan 2
Adik-adik tersayang, begitu banyak persoalan kepada saya sejak akhir-akhir ini mengenai 1.Bagaimana mahu berubah 2. Bagaimana mahu istiqamah 3. Bagaimana mahu mengisi kekosongan jiwa 4. Bagaimana mahu mencari bahagia dan sabagainya
Saya lampirkan satu antara ratusan email yang diterima sebagai pembuka pembicara kita bulan ini.
‘Boleh Kak Dina bantu saya dengan sesuatu? Saya rasa saya sudah kehilangan. Setiap hari saya cuba untuk mendekatkan diri dengan Allah dan menjadi Muslimah yang baik tetapi saya gagal! Saya sangat kecewa dengan diri. Setiap hari saya berjuang melawan perasaan dan nafsu saya. Saya takut saya ini seorang munafiq Kak Dina’Allahuakbar, setiap kali saya mendapat email-email begini saya rasa sebak. Kenapa? Kerana menyedari hakikat betapa ratusan ribu manusia diluar sana mengalami perasaan serupa. Betapa ramai yang hilang arah dan mahu memperbaiki diri tetapi tidak tahu kemana harus mahu dituju. I wish I can help all of you. Hakikatnya jika mahu berubah, ianya terpulang pada diri sendiri. Percayalah kita sebenarnya lebih kuat dari apa yang kita sangkakan. Yang boleh membantu diri melebihi segalanya adalah Allah, Allah Al-Jabar, Allah yang berkuasa untuk memulihkan keadaan kita, membaiki keadaan hati kita-maka memohon lah supaya Allah Al-Waliy menjadi pelindung diri kita. Biarlah Allah yang menjadi rakan yang dekat, yang membantu dan memelihara diri ini. Kerana jika Allah menjadi Waliy kita, kita tidak akan bersedih hati, hidup kita akan bersinar, bahagia dan kita akan beroleh kemenangan. Tak percaya? Lihat janji Allah. Allah adalah waliy kepada mereka yang beriman dan percaya dengan sepenuh hati dan yakin.
“Ingatlah wali-wali Allah tu tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati” (Yunus:62)Sejujurnya pembaca semua, apabila ramai adk-adik bertanya pada saya bagaimana mahu berubah, jawapan saya – “Saya juga masih merangkak, saya masih bertatih, sama saja seperti anda semua” Jadi malu saya bila ditanya soalan sebegitu. Pertama, Allah SWT dan kemahuan diri saya letakkan di tangga teratas. Itulah yang menentukan kejayaan ‘perubahan diri’ yang berterusan. Tanya kepada diri betapa seriusnya kita mahu berubah. Adakah kita sudah sanggup meninggalkan segala kejahatan dan dosa? Be specific. Apa dia yang PERLU bukan MAHU. Ingat ya, yang PERLU diubah dulu. Adakah yang PERLU diubah ini MAHU anda lakukan atau tidak. Jika tidak kenapa? Tuliskan. Tenunglah lama-lama. Dan mulalah ambil langkah pertama itu. Adakah kita bersedia untuk menggantikan kemungkaran itu dengan nikmat kemanisan iman dan ketenangan jiwa. Betul? Tanya kepada diri 100 kali satu hari. ARE YOU READY? Ya, Saya juga sering bertanya pada diri sendiri! Jika tidak bersedia, MENGAPA? Apa yang perlu dilakukan? Apa halangannya? Kaji diri sendiri lebih baik dari sibuk mengkaji orang lain.
Bahagianya jika boleh mengucapkan Selamat tinggal pada dosa! Ucapkanlah pada diri - Saya diciptakan Allah terlalu baik untuk membuat kemungkaran. I’m just too good for all this maksiat.
Satu lagi perkara yang diperlukan jika mahu berubah, itulah dia- SOKONGAN.
Benar, banyak perkara sukar dilakukan sendirian. ‘Support Group’ sebenarnya sangat penting. Seperti mereka yang mahu meninggalkan tabiat minuk arak di Barat. Kumpulan ‘Alcoholic Anonymous’ memberi sokongan, dorongan dan kekuatan kepada mereka. Sudahkah kita membentuk kumpulan sokongan untuk membantu mereka yang benar-benar mahu berubah? Sudahkah kita memimpin tangan mereka memberikan sokongan, galakan dan kasih sayang? Sedih, namun kadangkala sebaliknya berlaku. Apabila ada yang mahu berubah, kerana perubahan itu kecil atau belum cukup sempurna, makin banyak syarat, arahan, kata sinis dan perlian diberikan. FIkirkanlah.
Kepada mereka yang mahu berubah pula, sudah cukupkah ANDA MENCARI? Ada ramai manusia diluar sana yang sudi membantu sebenarnya. Jangan duduk diam dalam kamar sendiri, seperti juga jodoh dan rezki yang tidak datang bergolek, begitu juga dengan mencari sokongan dan hidayah. Cari sokongan, hadiri kuliah, dapatkan rakan baru, supaya diri lebih kuat melawan seribu satu godaan. Hakikatnya kita manusia memerlukan antara satu dengan lain. Kerana peringatan itu berguna untuk orang-orang beriman.
Semoga Allah membantu hati-hati yang ikhlas untuk dekat dengannya. Teringat kata-kata Syeikh Ouarzazi di dalam satu kuliahnya tempoh hari. “Jika kita IKHLAS mahu hidayah dan IKHLAS mahu dekat kepadaNya, Allah akan memberikan kita hidayah itu” Yakinlah. Bercakaplah dengan Allah di dalam hati, berbisiklah kepada Allah. Kerana Allah Maha Mengetahui apa saja yang tersembunyi di dalam hati ini, apa sahaja yang kita katakan dan apa sahaja yang kita lakukan.
Adik-adik mari ingatkan diri setiap perkara baik yang kita lakukan, dan setiap nafsu jahat yang kita lawan, setiap maksiat yang kita tinggalkan tidak akan sia-sia disisi Allah walaupun ianya cuma sekecil biji sawi sekalipun. Allah Al-Hasib – Ianya akan diambil kira dan dinilai. Bukan seperti manusia yang kadangkala lupa memberi penghargaan dan tidak ambil peduli perkara yang kita lakukan. Ya walaupun kecil ianya akan ditulis. Walaupun ianya meninggalkan ‘mengata’ dan membuang masa di FB terlalu lama kerana hakikatnya terlalu banyak assignment yang perlu disiapkan :)
"Dan org2 yg berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar2 Kami tunjukkan kepada mereka jalan2 Kami. Dan sesungguhnya Allah benar2 beserta org2 yg berbuat baik" (Al-Ankabut : 69)
Mari kita ke jalan Allah yang lurus, bukan jalan berliku yang penuh dengan semak. Sudahlah…
Sunday, March 4, 2012
Saturday, March 3, 2012
Jarak Itu Menjaga Aku dan Dia | iluvislam.com discover the beauty of islam
Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.
Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.
Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia